Marhaban Ramadhan
Bulan
Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi
Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan
Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi
petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah)
bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi
petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang
salah.” Surah Al-Baqarah : 185.
Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu
suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan.
Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh
pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia
diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan
perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat
sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.
Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.
Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan,
dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang
disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.
Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu
dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh
ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini
jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan
tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan
dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia
berpuasa seumur hidup.”
Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu
Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan
kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:
• Memejamkan mata dan menahannya daripada
meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama
dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya
daripada mengingati Allah s.w.t.
• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang
kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan
permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria’.
• Memelihara pendengaran daripada mendengar
hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram
pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan
pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang
diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka sangat suka
mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”
(Surah Al-Maidah:42)
• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain
daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa.
Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian
bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka
puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau
kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut
yang penuh dengan makanan yang halal.
_____________________________________________
Salam ramadhan AL-Mubarak buat sahabat2 semua..
Mari kita sucikan dan terangi hati dengan amal ibadah.. insyaAllah..
Comments
Post a Comment